Takut Dengan Dosa


Orang mukmin yang sejati itu

Jika terbuat dosa

Hatinya luka, punah, sedih dan derita

Jiwanya parah, dia tidak boleh melupakannya sepanjang masa

Kalau anggota lahir, sudah tentu nampak berdarah

Kalaupun sembuh dari lukanya

Namun parutnya ada

Begitulah halus perasaan seorang hamba yang berdosa

Dia tidak boleh melupakannya sepanjang masa

Bagaimana dia boleh melupakannya

Kerana parutnya masih ada

Ertinya ingatannya kepada dosa tidak boleh dilupakan

Teringat sahaja jiwanya terseksa

Teringat sahaja hatinya derita

Payah sekali dia mahu melupakannya

Perasaan ini adalah anugerah dan nikmat dari Tuhannya

Takut dengan dosanya itu adalah buat syafaat kepadanya

Terseksa dengan dosa, derita dengan kesalahan

Dianggap oleh Allah itulah hukuman kepada hamba-hamba-Nya

Moga di Akhirat kelak terlepas

Daripada seksa Neraka

Begitulah hati seorang mukmin

Sentiasa sahaja bergelora

Kerana takut dengan Tuhannya

Lebih-lebih lagi setelah terbuat dosa

Kalaulah Allah perlihatkan kepada manusia

Sudah tentu manusia akan mengatakan dia telah gila

Kerana keluh-kesahnya sentiasa bergelombang di dalam jiwanya

Kerana takut sangat dengan Tuhannya

oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi